Tuesday, June 16, 2009

Satu Pukulan Tiga Jawapan

Pada suatu hari, tiga orang kafir zindiq melihat seorang tua sedang tidur di bawah sebatang pokok. Mereka berpakat untuk mengganggunya. Mereka kemudian membangunkan orang tua itu dan mengajukan soalan-soalan berat untuk dijawabnya.

Tanya si kafir zindiq pertama " Saya tidak dapat melihat Allah, bagaimanakah saya mesti beriman kepadaNYA?"

Kafir zindiq kedua pula berkata " Bagaimana Allah boleh menghisabku dan menjatuhkan azab kepadaku? Bukankah semua amalanku telah ditakdirkan olehNYA?"

Yang ketiga pula mengajukan soalan " Bukankah jin itu diperbuat daripada api? Bagaimana dia boleh diseksa di dalam api?"

Mendengar soalan-soalan tersebut, orang tu itu mengambil tanah liat untuk memukul mereka. Bagaimanapun tindakan orang tua itu menyebabkan dia ditangkap dan diadukan kepada hakim.

Di hadapan hakim, orang kafir zindiq itu berkata " Kami mengajukan tiga soalan kepada orang tua ini, tetapi dia tidak menjawabnya, sebaliknya bertindak memukul kami dengan tanah liat."

Maka hakim itu pun bertanya " Mengapa kamu memukul mereka bertiga? Malah tidak menjawab soalan mereka?"

Jawab orang tua itu " Saya telah menjawab soalan-soalan mereka. Orang yang pertama menyatakan dia tidak beriman kepada Allah kerana tidak dapat melihat Nya, lantas saya memukulnya." '

Kata orang itu " Ya, kamu telah menyakitiku"

Balas orang tua itu " Apabila kamu berasa sakit, maka di manakah sakit itu? Selama saya tidak dapat melihat rasa sakit itu, maka bererti kamu tidak sakit"

Kata orang kedua pula " Tetapi kenapa kamu memukul aku juga?"
Jawab orang tua itu " Awak bertanya bagaimana Allah boleh menghisab amalan kamu yang telah ditakdirkan olehNya. Dan Allah telah mentakdirkan bahawa saya harus memukulmu, maka kamu mengeluh?"

" Dan, orang ketiga telah bertanya kepadaku bagaimana Allah menyeksa jin di dalam api neraka sedangkan mereka diperbuat daripada api. Maka saya memukulnya juga."

Kata org itu "Awak telah menyakitiku." Lantas dijawab oleh orang tua itu " Bukankah awak diperbuat daripada tanah liat? Bagaimana sekeping tanah liat boleh menyakitimu? Begitu jugalah dengan cara penyeksaan Allah terhadap jin dengan api neraka, sedangkan mereka diperbuat daripada api."

No comments:

Post a Comment